Powered by Blogger.

GAGASAN MALAYSIA MEMACU LABUAN

Posted by Labuan Kini | 4:46 PM

GAGASAN MALAYSIA MEMACU LABUAN

LABUAN : Semasa zaman penjajahan British Pulau Labuan hanya sebuah perkampungan nelayan, namun sejak menjadi sebahagian daripada gagasan Malaysia pada 1963 keadaannya sudah jauh berubah.

Pulau bebas cukai itu hari ini adalah sebuah bandar kosmopolitan yang ceria dan cukup maju.
Kepesatan pembangunan di pulau ini sebenarnya adalah ekoran perancangan menyeluruh pihak kerajaan bagi memastikan penduduk Labuan terus berada dalam arus perdana pembangunan.

Selain itu, kunci kejayaan Pulau Labuan adalah suasana politik negara yang stabil dan adanya semangat kerjasama yang kuat dalam kalangan warga pelbagai kaum di pulau itu untuk membangunkan Labuan.

Semangat kerjasama seumpama inilah yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui konsep 1Malaysia yang mahu melihat rakyat pelbagai kaum di negara ini terus bersatu padu dan menggorak langkah ke hadapan.

Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih

"Dulu dijajah British. Tidak ada guna kita memikirkan masa yang lampau. Kini tumpuan kita adalah memperkasa perpaduan nasional yang sejati bagi memastikan kelancaran perlaksanaan agenda pembangunan negara," kata Yang Dipertua Dewan Perniagaan Malaysia Labuan (DPMM), Yussof Mohammad kepada Bernama di sini sempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini.

"Wilayah Persekutuan Labuan, meskipun satu pulau yang kecil dengan kepadatan penduduk hanya kira-kira 85,000 orang, pembangunan di pulau ini ketara.

"Sehinggakan Labuan mempunyai infrastruktur bertaraf antarabangsa untuk acara-acara lima bintang.

"Labuan yang telah menjadi Wilayah Persekutuan sejak 25 tahun lepas kini juga dikenali sebagai Pusat Pesisir Kewangan Antarabangsa selain sebagai hab industri minyak dan gas.

"Kalau dahulu Labuan hanya dikenali sebagai pulau dengan hasil tangkapan laut dengan amalan penangkapan tradisi yang tidak begitu memberangsangkan," katanya menunjukkan sejauh mana pulau itu telah maju sejak Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia.

Penyusunan Semula Masyarakat

Sementara itu, seorang penduduk tempatan Kasim Haji Daud, 71, berkata kemiskinan adalah satu daripada masalah sosial yang berjaya ditangani kerajaan di Sabah dan Sarawak sejak terbentuknya Malaysia.

Kadar kemiskinan ini sangat ketara terutama dalam kalangan kaum Bumiputera yang beragama Islam tetapi kerajaan telah mengambil langkah-langkah perlu dengan memberi penekanan kepada penyusunan semula masyarakat.

Kerajaan telah membuat penyusunan atau penstrukturan semula masyarakat seperti menambahkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan dan perindustrian, menambahkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat dan lain-lain, membangunkan kawasan luar bandar supaya pembangunannya seimbang dengan kawasan bandar.

Kasim menunjukkan bahawa hasil daripada tindakan kerajaan ini telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di seluruh negara.

Perubahan Dalam Ekonomi

Seorang lagi penduduk pulau ini Johari Abidin, 62, berkata jika dibandingkan situasi sebelum merdeka dengan apa yang berlaku sekarang terdapat banyak perubahan terutama dalam bidang ekonomi.

"Kerajaan tidak lagi menumpukan kepada eksport barang utama dan import barang pembuatan. Sejak merdeka kerajaan telah menetapkan halatuju untuk beralih daripada sektor pertanian kepada sektor perindustrian, pendidikan dan teknologi petroleum.

"Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan membolehkan ekonomi negara mengalami pertumbuhan yang cukup pesat," katanya sambil menambah kata bahawa rakyat terutama penduduk Labuan perlu menghayati sejarah kemerdekaan melalui gagasan Malaysia yang mengubah keadaan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik.

Johari berkata kestabilan ekonomi dan politik di negara ini menyumbang kepada peningkatan daya saing dalam negara.

Antara kelebihan peningkatan daya saing termasuklah melahirkan tenaga kerja mahir melalui pembukaan institusi kemahiran hidup, mewujudkan sistem kewangan yang kukuh, mewujudkan kemudahan infrastruktur yang lebih baik, selain menggubal pelbagai dasar yang menempatkan Malaysia dan Labuan dalam peta ekonomi dunia.

Pembangunan Modal Insan

Dalam proses memajukan rakyat dan negara, kerajaan dari awal lagi sedar bahawa pembangunan sumber manusia atau modal insan adalah penting.

"Kerajaan telah mengambil langkah-langkah perlu dalam pembangunan sumber manusia seperti menambah institusi pendidikan di semua negeri, menggalakkan penubuhan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) termasuk di Labuan, mewujudkan lebih banyak program serta latihan berbentuk kemahiran dan memperkenalkan corak pendidikan bestari," katanya.

Johari juga menambah kata bahawa kepesatan pembangunan ekonomi negara turut menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.

"Sememangnya terbukti bahawa Malaysia telah mengalami peningkatan taraf yang ketara sejak merdeka dari segi kesihatan, pendidikan, perumahan dan infrastruktur," katanya.

Tidak Ketinggalan Dalam Sains Dan Teknologi

Sementara itu, Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Stiong, 34, berkata kemajuan sesebuah negara dinilai dari segi kemajuan sains dan teknologinya. Dalam hal ini, Malaysia tidak terlepas daripada memajukan perkembangan sains dan teknologi.

"Kerajaan menganggap bahawa sains dan teknologi adalah asas kepada pembangunan negara. Kerajaan telah memberi dorongan yang sewajarnya kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini antaranya dengan memberi insentif fiskal (cukai).

"Dalam bidang ICT, kerajaan telah membangunkan prasarana seperti Koridor Raya Multi Media (MSC), menyediakan latihan berbentuk Teknologi Maklumat (IT) dan mewujudkan Sekolah Bestari," katanya.

Dr Romzi juga berkata kerajaan telah banyak memberi penekanan kepada perindustrian masa hadapan dengan meningkatkan industri barang utama, pembuatan ringan (tekstil, elektronik), industri berat dan industri perkhidmatan terutama ICT.

Selain itu, pentadbiran dan pembangunan mapan menjadi agenda penting negara dengan mewujudkan kerajaan elektronik di Malaysia, memajukan konsep Pensyarikatan Malaysia, meletakkan asas yang sihat bagi mencapai pembangunan yang saksama, menentukan kesejahteraan generasi akan datang tidak tergugat, memberi penekanan kepada pembangunan persekitaran.

Kerajaan sangat komited dan bersungguh-sungguh dalam membangunkan sektor ekonomi di negara ini iaitu bagi menjamin kemajuan yang berterusan untuk faedah rakyat, selaras dengan aspirasi IMalaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan pencapaian. (Bernama)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...