Jambatan hubungkan Labuan, tanah besar Sabah berdaya maju.
Posted by
labuan |
4:41 PM
KAJIAN oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dan (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mendapati cadangan bagi pembinaan jambatan sepanjang 11 kilometer (km) menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah adalah berdaya maju dari segi ekonomi.
Ketua Pengarah Perundingan Projek Jambatan Labuan-Menumbok, Prof Dr Haji Shariff AK Omang Al Haj, berkata laporan menyeluruh kajian itu sudah disiapkan dan akan diserahkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar minggu ini.
Beliau yang juga Pengarah Kolej Antarabangsa Labuan Universiti Malaysia Sabah (UMSKAL) kajian yang mengambil masa selama 11 bulan itu menyarankan kemungkinan tiga laluan bagi jambatan itu, iaitu dari sebelah selatan, tengah dan timur.
Laluan timur, katanya akan menghubungkan Tanjung Aru ke Mempakul yang berdekatan dengan Menumbok di tanah besar Sabah dan dianggap sebagai paling praktikal kerana tidak mengganggu laluan perkapalan komersial atau laluan feri Labuan-Menumbok.
Laluan tengah pula, katanya, melalui Pulau Dahat dan Menumbok (9.3 km), manakala laluan selatan, dari pusat bandar di sini ke Menumbok (11.3 km).
Kedua-dua laluan itu bagaimanapun, katanya, dianggap tidak praktikal kerana mengganggu laluan perkapalan dan membabitkan kos pembinaan yang tinggi.
Shariff berkata, kajian itu menganggarkan kos pembinaan jambatan RM3 bilion dan boleh meningkat kepada RM6 bilion jika lewat disiapkan.
Katanya, kajian itu juga mendapati jambatan itu perlu bagi menyelesaikan masalah akses udara yang terhad dan hubungan laut yang tidak selesa, serta menyediakan kaedah pengangkutan alternatif lebih cepat jika berlaku kecemasan.