Powered by Blogger.

kapal yang mengisi gas di petronas labuan meletup kira-kira jam 2.30am kapal bunga alpina

Posted by Labuan Kini | 4:49 PM






kapal sebelum terbakar bunga alpina

Kebakaran di atas kapal tangki 'Bunga Alpinia' milik MISC Berhad, di sini awal hari ini menyebabkan seorang anak kapal terbunuh dan empat lagi masih hilang.
 
Letupan yang berlaku dalam kebakaran pada 2.30 pagi itu, menggegarkan Labuan.
Anak kapal yang terbunuh dikenali sebagai Syahril Azmi Baharudin, dan empat yang hilang adalah Zahari Hashim, Mohd Hanafi Khairil, Mohd Nazim Kamsani dan seorang warga Filipina, Colangoy. Menurut MISC, kejadian berlaku ketika kapal itu sedang mengisi metanol di terminal Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin berkata operasi mencari dan menyelamat dihentikan sementara pada 6 petang untuk membolehkan petugas berbuka puasa dan disambung selepas itu.
MISC berkata, keluarga dan waris mangsa telah dimaklumkan berhubung kejadian itu. Talian hotline telah disediakan bagi keluarga mangsa yang terlibat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menurut MISC, kapal 38,000 DWT IMO II itu mempunyai 29 anak kapal yang terdiri daripada 23 rakyat Malaysia dan enam rakyat Filipina. Seramai 24 anak kapal telah berjaya diselamatkan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Berhad Dr Abd Hapiz Abdullah berkata letupan itu berlaku selepas beberapa jam proses pengisian bahan kimia ke dalam kapal dilakukan. Proses mengisi bahan kimia itu memakan masa kira-kira 24 jam. 

Beliau berkata, dalam kejadian itu, hanya seorang sahaja kakitangan syarikat itu yang cedera dan mengalami kecederaan di mata. Beliau berkata, petugas syarikat Petronas Chemicals, yang identitinya tidak dimaklumkan adalah dalam keadaan stabil dan akan dirujuk kepada pakar mata esok. Abd Hapiz berkata, pada masa kejadian terdapat 14 kakitangan Petronas Chemicals yang sedang bertugas di bilik kawalan, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Terdapat kira-kira 200 kakitangan Petronas Chemicals yang bertugas di loji tersebut. Abd Hafidz berkata, ekoran kebakaran itu, operasi 'plant one' dihentikan sementara waktu, manakala 'plant two' tidak terjejas.
Beliau juga mengesahkan tidak ada kebocoran berlaku di perairan Labuan berikutan kebakaran kapal MISC itu.

Beliau berkata pihaknya memandang serius kejadian yang tidak diduga itu, dan keselamatan merupakan keutamaan dalam operasi syarikat itu. 

Sementara itu, penduduk kampung berhampiran terminal Petronas iaitu Patau-Patau 1 dan 2, iaitu kira-kira 100 meter dari terminal berkenaan, awal pagi tadi dibangunkan dengan bunyi dentuman yang kuat, dan diikuti dengan gegaran. Salah seorang penduduk Maimunah Mahmud dari Kampung Patau-Patau 1 berkata, pada masa kejadian beliau sedang memasak untuk sahur, dan keluarganya yang tidur masa itu semua terkejut lalu meluru keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.

"Dentuman itu diikuti dengan api yang menerjah ke langit. Kami semua panik bercampur takut ketika itu, bimbang kampung kami akan terbakar kerana rumah kami di hadapan tapak operasi Petronas itu," katanya.
Bagi Awang Kadir Abdullah yang tinggal di Kampung Patau-Patau 1 berkata, kejadian yang mengerunkan itu merupakan kejadian yang pertama kali berlaku di loji itu. Kejadian itu telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk kampung mengenai keselamatan mereka kerana kedudukan kampung mereka yang terlalu dekat dengan loji itu, katanya.

"Kita tidak nafikan operasi metanol ini telah banyak menjana aktiviti ekonomi penduduk setempat, namun aspek keselamatan perlu juga diambil kira. Kita percaya pihak Petronas sedar akan perkara ini, dan kita tahu mereka sentiasa mengutamakan ciri-ciri keselamatan," katanya. - Bernama



 IMPAK GEGARAN KAPAL METHANOL MELETUP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...