Dua daripada empat mangsa yang hilang semasa kebakaran Kapal tangki minyak Bunga Alpinia Telah berjaya di temui petang tadi.
Posted by
labuan |
3:27 PM
Dua daripada empat mangsa yang hilang semasa kebakaran Kapal tangki minyak Bunga Alpinia telah berjaya di temui petang tadi.
ANGGOTA polis dan bomba membawa mayat mangsa tragedi kebakaran Kapal tangki minyak Bunga Alpinia ke bilik mayat Hospital Nuklus Labuan petang tadi. Dua daripada empat mangsa yang hilang berjaya di temui petang tadi. - Foto Edmund Samunting
Dua mayat ditemui oleh pasukan maritim, bomba dan penyelamat kelmarin di sekitar lokasi kejadian kapal MISC Bunga Alpina yang meletup Khamis lalu di jeti Petronas Methanol Labuan (PML).
Ketua Polis Labuan, Saiman Kasran kelmarin berkata kedua mayat itu ditemui terapung di laut dan kemudiannya dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat.
“Mayat pertama ditemui pada jam 12.40 tengahari, manakala mayat yang kedua ditemui 17 minit kemudiannya. Kedua-dua mayat ditemui di kira-kira 30 meter dari jeti PML.
“Sementara itu, operasi mencari dua lagi mangsa yang hilang masih diteruskan oleh pihak Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya kepada Utusan Borneo.
“Kedua-dua mayat berkenaan telah mengalami kebakaran yang serius namun telah dikenalpasti sebagai Hanafi Khalil, 24 dan Zahari Hassim, 46.
Ketika ditemui di hospital, salah seorang ayah kepada mangsa yang hilang, Khalil Abdullah yang berasal dari Melaka berkata anaknya iaitu Hanafi Khalil, 24, sudah bekerja dengan syarikat perkapalan itu sejak tiga tahun lalu.
“Anak saya dikenalpasti salah seorang dari mangsa yang hilang, tetapi saya masih lagi menunggu keputusan dari pihak hospital untuk mengenalpasti identiti anak saya itu,” katanya ketika menunggu keputusan bedah siasat di hospital.
Apabila dihubungi, pihak Petronas berkata kesemua anak kapal yang terselamat kini diletakkan di satu tempat khas, di mana mereka belum bersedia untuk bercakap dengan sesiapa termasuk pihak media.
Menurut sumber, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal telah melawat kesemua anak kapal yang terselamat pada pagi kelmarin.
Anak-anak kapal terbabit dikatakan masih lagi dalam keadaan trauma akibat letupan yang menggegarkan sekitar bandar Labuan kerana lokasi kejadian terletak berhampiran dengan kawasan bandar.
Sebahagian dari dinding kaca dan siling bangunan di PML juga dilaporkan pecah akibat dari gegaran yang berpunca dari letupan kapal berkenaan.