Setujukah Kos Sara Hidup Di Labuan Adalah Tertinggi Di MALAYSIA?
Posted by
labuan |
1:45 PM
selepas membaca Borneo Post online yang bertarikh 7 April 2012 oleh Pengerusi PKR Labuan. Saya sebagai penduduk Labuan sangat terkilan dengan tindakan pihak Kerajaan tempatan yang tidak mengambil endah mengenai masalah kenaikan harga barangan yang mendadak di Labuan; dan secara tidak langsung menaikkan taraf sara hidup pulau Labuan.
Saya yakin taraf sara hidup di Labuan adalah yang tertinggi di Sabah dan antara yang tertinggi di Malaysia; sangat membebankan rakyat di samping akan membantutkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang pulau ini.
Kerajaan seharusnya segera menangani masalah ini melalui perbincangan bagi membolehkan penyelesaian jangka pendek dan panjang dapat dicapai.
Pulau Labuan harus ada hala tujunya sendiri yang lebih baik dari apa yang kita ada sekarang. Oleh itu kita memerlukan penglibatan daripada semua pihak, bukan sahaja daripada pihak kerajaan, malah harus juga mengambil kira pandangan pihak lain seperti dari parti pembangkang, NGO dan rakyat biasa Labuan.
Kerajaan harus menekankan penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi Pulau Labuan. Bagi pendapat saya untuk menurunkan harga barangan sekarang ini secepat mungkin, pihak kerajaan mungkin boleh memberi subsidikan pengangkutan perdagangan ke Pulau Labuan, menurunkan tarif air dan elektrik dan penyesuaian tariff baru terhadap sebarang bentuk cukai.
Manakala bagi penyelesaian jangka panjang kerajaan kena menambahkan aktiviti pulau ini yang hanya bergantung semata-mata dengan aktiviti IOFC sahaja. Populasi Labuan seramai 85,000 orang dengan keluasan 92 Km persegi, rasanya industri berat dan 'trading' bukanlah penyelesaian jangka panjang.
Jika dibandingkan dengan Singapura yang mempunyai penduduk seramai 5 juta dengan keluasan negara 704 Km persegi, kerajaan harus lebih menumpukan kepada indusri berteknologi tinggi, industri pelancongan dan mungkin juga indusri pembelajaran. Kita kena terima hakikat bahawa kita kekurangan tenaga kerja/populasi dan kawasan tanah yang terhad.
Teguran terbuka, memorandum, demontrasi tidak akan timbul jika pihak pemerintah menjalankan kerja dengan baik. Begitu juga dengan adanya sikap yang lebih terbuka untuk menerima pandangan daripada semua pihak.